AKU GADIS LIAR
Aku menjawab panggilan telefon sambil mataku mencari nombor plat kenderaan Uber yang aku ‘order’ tadi.
Pemandu itu memberhentikan kereta ditempat aku berdiri. Tanpa berlengah, aku terus buka pintu kereta, beri salam, perkenalkan diri dan terus masuk ke dalam kereta selepas dipelawa masuk. Sedikit pun aku tak pandang lelaki bertatu itu di luar perkarangan masjid.
Aku tinggalkan dia begitu saja.
Beberapa minit aku berada dalam kereta, pemandu Uber itu memperkenalkan dirinya dan memulakan perbualan.
Mungkin dia teruja dengan seorang Niqabis yang menjadi tetamunya kali ini, dia mula bertanyakan pendapat aku berkenaan sistem penghambaan di zaman Nabi… fuhh! Topik ini betul-betul di luar bidang aku. Dari penceritaannya, dia ini suka mengkaji perihal sistem penghambaan sejarah Islam dari zaman Nabi sehinggalah di zaman pemerintahan Uthmaniyyah.
“Sarah, saya nak tanya Sarah lah ye. Apa pendapat Sarah dengan sistem penghambaan dalam Islam? Sebab saya belum jumpa mana-mana Surah dalam Al-Quran yang mengharamkan penghambaan.”
Dia tanya.
“HAMBA itu tidak haram dalam Islam.”
Aku jawab.
“Pada pendapat Sarah, kenapa Islam membenarkan penghambaan?
Dia tanya.
Fuhh!
Terkebil-kebil aku nak menjawab.
Harap-harap tak adalah orang yang beranggapan bahawa seorang perempuan yang memakai niqab ini adalah orang yang arif bab segala selok belok agama. Mampus aku nak perah otak menjawab semua soalan ni haha!
“Apa yang saya tahu, pada zaman dahulu sistem perluasan kuasa adalah melalui peperangan. Dah jadi tradisi dan adat semua masyarakat tak kira barat atau timur, peperangan adalah satu cara untuk memperluaskan kuasa dan tamadun. Sebab itulah Islam juga menyarankan peperangan untuk membuka wilayah dan menyebarkan sistem pentadbiran Islam.”
Jelasku.
“Setiap kali peperangan, ramai kaum lelaki akan mati. Wanita dan kanak-kanak dilarang untuk dibunuh. Islam membenarkan GHANIMAH iaitu harta rampasan perang dalam bentuk manusia iaitu menawan dan menyimpan hamba-hamba untuk dijaga dengan baik dan bukannya diabdikan seperti haiwan. Islam pun meraikan pahlawan Islam yang berjuang membela agama, maka dibenarkan taraf tawanan ini menjadi hamba. Oh ya! Islam juga menggalakkan umatnya membebaskan hamba melalui :
Sambungku panjang lebar.
Pemandu Uber itu mengangguk tanda faham. Yang pasti, dia mungkin lebih arif tentang ini.
“Sarah tahu tak seorang tuan boleh melakukan hubungan seks bersama hambanya?”
Soalnya.
Membulat mata sepetku kahkah!
“Dalam Islam seorang tuan dibenarkan bersetubuh dengan hambanya untuk menghasilkan anak dan anak hasil persetubuhan seorang hamba dengan Tuannya pula dikira sebagai seorang yang MERDEKA. Jika hamba perempuan itu melahirkan anak, hamba perempuan itu dipanggil sebagai Ummu Walad, yakni dia telah dijamin kebebasannya setelah kematian Tuannya. Sebab tu Islam menggalakkan tuan berkahwin dengan hamba wanita dan diberi mahar walaupun tidak diwajibkan.”
Jelasku lagi.
“Yes! Sarah tahu kan seorang lelaki Islam hanya boleh kahwin sampai 4 orang isteri saja tapi bila berkahwin dengan hamba ianya tiada had?”
Aku senyum.
“Ya, benar. Sebab itulah ramai dikalangan raja-raja terdahulu berkahwin dengan ramai gundik dan dayang-dayang di Istana. Kesemua isteri ini sah dan melebihi empat orang dan anak mereka hasil hubungan seorang hamba wanita dan Tuannya itu adalah bebas dan merdeka tidak seperti ibu mereka (Ummu Walad).”
Jelasku.
Tiba-tiba aku teringat kisah Safiah Binti Huyai dan Mariah Qibtiyyah. Kedua-duanya adalah HAMBA Rasulullah SAW.
Safiah Binti Huyai seorang hamba Rasulullah daripada tawanan Khaibar, akhirnya menjadi ummaha Mukminin sebab baginda memerdekakan Safiah sebagai maskahwin mereka dan beliau layak menjadi ibu-ibu mukminin.
Berlainan dengan Mariah Qibtiyyah yang berasal daripada hamba Raja Muqauqis daripada Mesir. Mariah dihadiahkan oleh Muqauqis dan akhirnya Rasul berkahwin dengan Mariah. Atas budi bicara Mariah tidak mahukan maskahwin dan Rasulullah berkahwin tanpa maskahwin. Mariah tidak tersenarai dalam senarai ummahah Mukminin sebab beliau tidak merdeka dan hanya isteri dikalangan HAMBA.
Pada zaman Saidina Umar Al Khattab, beliau juga mengharamkan penjualan semula ummu walad kerana menaikkan sedikit status hamba yang telah menjadi isteri penghulunya. Namun mereka tetap rendah daripada status isteri merdeka.
Walaubagaimana pun, Islam menghadkan hamba dengan :
1) Dibenarkan kahwin dengan hamba untuk menaikkan taraf hamba menjadi Isteri dikalangan hamba.
2) Dibenarkan bersetubuh dengan hamba untuk menghasilkan anak. Ummu walad (hamba tadi) dilarang dijual lagi kerana telah mempunyai anak daripada perhubungan dengan tuannya.
3) Dibenarkan hamba memiliki harta zakat demi membebaskan diri melalui amalan katibah.
4) Dilarang menjualkan atau mewariskan pada tuan baru, akan hamba yang mudabbar (dijanjikan merdeka oleh tuannya sebelum matinya).
5) Dikekang syarat menawan musuh dengan syarat peperangan yang wajib menepati syarak.
6) Menghalang pemilikan hamba dengan adanya hukum membayar dam dan kiffarat untuk ruang pembebasan hamba.
“Inilah amalan yang berlaku pada raja di zaman empayar Uthmaniyyah dimana ketika itupun mereka mengamalkan amalkan bersama dengan hamba-hamba wanita dan gundik-gundik dan dayang-dayang di Istana.”
Katanya.
Aku senyum jelah.
Sebab Empayar Uthmaniyyah ini antara empayar yang terbesar dan agung satu ketika dahulu sehingga ditakuti dan digeruni oleh kuasa-kuasa besar dunia tapi akhirnya jatuh begitu saja.
Bagi aku ini adalah satu perbincangan ilmiah walaupun perbincangan ini andai dilontarkan pada umum, ia tidak sesuai namun disebabkan aku anggap ia satu perbincangan ilmiah dalam Islam yang jarang diperkataan, maka aku terima dan menyambut baik perbincangan ini.
Borak-borak punya pasal, dah sampai depan rumah. Seronok pemandu Uber itu dapat berkongsi pendapat dengan aku katanya.
Sampai depan rumah, aku bagi salam. Mama sambut aku balik depan pintu sambil tersenyum.
“Sarah dah makan?”
Tanya Mama.
“Belum Ma. Mama dah makan?”
Aku tanya Mama balik.
“Mama dah makan dekat rumah Mak Ngah tadi.”
Jawab Mama.
“Mama singgah rumah Mak Ngah?”
Aku tanya sambil melabuhkan punggung ke sofa empuk di ruang tamu. Jarang-jarang aku berada dalam ruang tamu rumah sendiri.
“Mama singgah kejap. Tadi Mama dapat tahu rumah Mak Ngah dimasuki perompak. Alhamdulillah tak jadi apa-apa.”
Kata Mama.
Terkejutlah aku!
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Masa bila Ma? Sarah tak tahu pun!”
Aku risaukan Mak Ngah, Pak Ngah yang dah uzur, Azreen dan Aqeela. Berderau jugaklah darah aku.
“Mama pun baru tahu tadi. Zaril tak ada dekat rumah. Keluar ke masjid. Alhamdulillah tak ada apa-apa kecederaan. Azreen dah balik kediaman Universiti dia. Tinggal Mak Ngah, Pak Ngah dan Aqeela. Kebetulan ada polis peronda lalu. Ada seorang jiran yang perasan nampak ada dua orang lelaki naik motor bawak pisau panjang. Katanya pedang. Ishh… risau pula Mama. Dah lah kita tinggal berdua je dalm rumah besar macam ini.”
Ahh.. sudah. Mama pula menakutkan aku.
“Habis tu, Ma? Takkan kita nak kena pasang ‘bodyguard’ pula hahaha!”
Tergelak pula aku.
Terus Mama cubit manja lengan aku.
“Haa! Tak pun kan, Ma… Mama kahwinlah senang. Ada juga orang yang boleh jaga Mama.”
Aku mengangkat kening pandang Mama.
“Ehh! Ke situ pula Sarah!”
Balas Mama
“Hahahaha!”
Kami ketawa.
Dah lama tak bergelak ketawa bersama.
“Haaa… lagi satu kan Sarah… Mama rasa Mama nak jadi pengasuh budaklah. Nak mengasuh cucu Mak Ngah hahaha…”
Mama ketawa.
“Ya Allah! Mama nak mengasuh Aqeela?”
Spontan aku bertanya.
Macam tak percaya!
Sebab Mama yang aku kenal, memang tak berapa senang dengan kehadiran Azril, anak angkat Mak Ngah dari mula kami kenal lagi. Sungguhlah! Hati manusia ini Allah yang takluk. Hati manusia boleh berubah sekelip mata dengan kuasa Allah. Subhanallah!
Mama angguk, senyum.
Allah! Happy nya Sarah, Ma!”
Spontan aku peluk Mama seeratnya.
“Kenapa pula Sarah yang happy?”
Seloroh Mama.
Saja nak kacau akulah tu.
“La hawla wala quwwata illa billah…”
Balasku sambil membalas pelukkan Mama.
Ia mengingatkan aku dengan Surah At-Taghābun, ayat 11 yang bermaksud :
“Tidak ada kesusahan yang menimpa melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
“Alhamdulillah Allah pimpin hati Mama.”
Monologku.
“Sarah nak makan tak? Mama ada bawa balik Bubur Lambuk tadi. Sebelum sampai rumah tadi Mama singgah dekat Warung Mak Leha tepi jalan.”
Kata Mama.
“Rajinlah Mama menyinggah dekat warung tu. Sarah segan. Sarah tengok ramai lelaki menyinggah hahaha!”
Aku ketawa tapi Mama senyum kelat.
“Sarah tak singgah Warung Mak Leha itu pun tak apa.”
Kata Mama.
“Ehh… kenapa Ma?”
Soalku.
“Anak lelaki Mak Leha rupanya dah balik dari Singapore. Mama pun tak tahu yang Mak Leha itu ada anak lelaki. Dengar ceritanya dia itu Duda anak seorang. Perempuan anak dia. Tapi bekas isteri dia yang jaga anak dia dekat Kedah.”
Jawab Mama.
“Huii! Mana Mama tahu pasal ni? Mama membawang eh? Hahaha!”
Aku ketawa pandang Mama.
“Membawang? Maksud Sarah? Tak fahamlah Mama apa yang bawang-bawang ni?”
Berkerut dahi Mama.
Ya Allah… Mama ini bukan jenis makcik-makcik yang ikut trend dengan istilah-istilah semasa ni haha!
“Tak ada apalah, Mama. Saja je Sarah mengusik.”
“Masa Mama singgah membeli Kuih Kerbau Guling dekat Warung Mak Leha itulah Mak Leha beritahu Mama. Mulanya sebab Mama terkejut bila nampak ada lelaki tolong-tolong Mak Leha angkat Tong Gas. Mama tengok dekat jari dia, lengan, kaki, belakang badan semuanya bertatu! Ya Allah… mengucap Mama tengok! Dah ikut budaya Orang Singapore!”
Kata Mama mengomel.
“Mama, setiap orang boleh berubah, kan? Yang nampak baik pun belum tentu dia baik. Apatah lagi yang kita nampak ‘jahat’ pada zahirnya. Kita tak tahu mungkin dia lebih baik dari diri kita, kan Ma?”
Aku senyum peluk Mama.
Teringat aku pada firman Allah SWT dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujurāt, ayat 12 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Ya, aku faham mentaliti orang-orang Melayu biasa dan orang-orang tua. Fikiran yang sudah tepu dengan apa yang kita nampak, itulah diri seseorang itu. Walhal pakaian dan luaran tidak melambangkan diri seseorang. Yang pernah jahil, usah terus dipandang jahat seolah-olah diri kita ini benar-benar memegang kunci syurga. Setiap orang ada masa silamnya yang tidak boleh dipadamkan. Kita seharusnya bersyukur sebab Allah Taala tutup aib kita. Semua ini adalah LA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAH. Yang bagi kita kefahaman dalam agama adalah Allah Taala. Tugas kita hanya menyampaikan saja. Orang lain tak boleh terima, tak mengapa. Doa jangan putus. Insya’Allah Allah akan bagi faham.
Mama diam.
Mungkin malas nak layan aku yang asyik bersangka baik walaupun pada dia, aku ini sangat berfikiran terbuka.
“…tapi kan Ma, macam mana Mama boleh tahu pasal Kuih Kerbau Guling tu? Hahaha!”
Tergelak pula aku.
“Ntah. Mama pun terkejut tengok nama Kuih Kerbau Guling dekat sticker bekas kuih-muih Mak Leha tu. Mama pun belilah sebab nak rasa macam kerbau ke rasa kuih tu kihkihkih…”
Tersengih Mama.
“Ma… apa yang Sarah cakap pasal Mama kena kahwin supaya ada orang yang jaga Mama tu Sarah serius tau!”
Aku bisik di halwa telinga Mama dan terus berlari menuju ke anak tangga.
“Ishhh! Budak ni.”
Mama cuba tarik lenganku tapi gagal.
Kami ketawa sambil naik ke tingkat atas. Geleng kepala Mama tengok tingkah laku anak tunggal dia ini. Nakal.
Aku tengok jam dan bersiap untuk solat. Habis solat aku WhatsApp Mira tanya dia dimana. Saja nak ajak sembang tapi mata pula mengantuk.
“Mira ingat lagi tak kotak-kotak yang pernah Sarah simpan dulu?”
Aku tanya Mira.
“Ingat. Mira rasa lebih baik Sarah buang jelah. Bakar. Mira tak nak Sarah serabut atau ingat lagi kenangan-kenangan lampau. Kotak Ungu dan Kotak Biru tu tak buang pun tak apa. Kotak Pink tu terpulang pada Sarah nak buang atau tidak. Mungkin dalam Kotak Pink itu Sarah boleh pilih mana yang Sarah tak perlu, buang saja. Bakar.”
Tegas Mira.
Aku terdiam.
“Kotak Kuning, Kotak Merah dan Kotak Hijau Sarah Wajib buang. Bakar je terus.”
Sambung Mira.
Aku diam lagi.
Otak aku ligat berfikir.
Betul kata Mira. Aku tak nak serabutkan lagi otak aku ini. Cukuplah apa yang aku dah lalui selama ini. Ditipu, dikhianat, dipermainkan, diambil kesempatan, dianiaya, aku rasa cukup dengan apa yang aku dah hadap. Nak pujuk diri sendiri bukanlah sesuatu perkara yang mudah.
“Sarah okey?”
Tanya Mira.
“Alhamdulillah, Mira. Rasa lega.
Balasku.
“Mira mungkin tak lama dekat Malaysia ni tau Sarah. Mira nak balik Brunei semula. Hakim ada urusan kerja lagi di sana.”
Kata Mira.
“Tak apa, Mira. Selesaikan dulu apa yang patut. So apa-apa perancangan kita sebelum ini terbatallah, kan?”
Soalku.
“Begitulah. Sarah boleh je teruskan nak keluar dengan Zaril… eh! Dengan Azreen!”
Seloroh Mira.
“Tak naklah, Mira. Sarah dah boring dengan lelaki hahahaha!”
Selorohku.
Saja mengusik Mira.
“Ehh Sarah! Jangan macam-macam.”
Mira pun ketawa.
Teringat pesan Habib Umar Bin Hafiz :
“Semua persahabatan yang terbina di muka bumi ini akan menjadi permusuhan di hari akhirat kecuali persahabatan yang di bina dengan ketaqwaan.”
Mira.
Seorang sahabat yang tak pernah jemu beri nasihat. Aku pernah lupa siapa dirinya selepas berlakunya kemalangan aku bersama Wafi satu ketika dahulu. Dia kenal dengan siapa aku berkawan. Dia tahu dengan siapa aku pernah menangih kasih.
Agaknya lama aku termenung, Mira pun minta izin untuk tidur. Mengantuk katanya. Kami akhiri perbualan kami hampir ke jam 11.00 malam. Aku turun ke bawah, ajak Mama makan, Mama dah makan katanya. Lepas makan, aku ajak Mama ambil angin di balkoni di tingkat atas.
Sampai di balkoni, Mama genggam perlahan jemariku sambil berbisik lembut...
“Dato’ Zahari melamar Mama jadi isteri dia.”
Hampir terduduk aku!
(…… bersambung)
Komentar
Posting Komentar